Entry: pAnDuAn MeNgEnAlI lElAkI bAiK... Sunday, July 30, 2006



 

Lelaki jujur tidak gemar kalau dia dicurigai. Dia
juga tidak suka dikatakan sedang
menyembunyikan sesuatu. Lelaki jujur biasanya
cemerlang dalam pelajaran ataupun pekerjaan. Dia
tidak punya masa untuk bermain sembunyi-
sembunyi. Dia suka berterus terang dan dia mahu
orang mempercayai kata-katanya. Kalau dia
dicurigai dia boleh berasa amat kecewa dan boleh
bertindak bodoh.

Misalnya, seorang suami yang memang tiada apa-
apa skandal di luar, jika isterinya tidak habis-habis
melemparkan kata-kata curiga, dia boleh bertindak
betul seperti apa yang dikatakan oleh isterinya itu.

"Aku jujur pun isteri aku kata aku tak jujur. Baiklah
aku tak payah jujur." Dikhuatiri kata-kata begini
mula terdapat di dalam hatinya. Dia mungkin tidak
bertindak songsang pada waktu terdekat, tetapi
apabila titik hitam mula terbentuk di hatinya
lambat laun, ia mungkin terjadi.

Begitu juga seorang lelaki jujur dalam kategori
tunang ataupun teman. Orang jujur memang tidak
patut dicurigai. Sebenarnya bukan orang jujur saja,
siapa pun tidak suka jika dia dikatakan tidak baik,
meskipun dia memang tidak baik. Jadi, cuba
bayangkan perasaan seorang yang baik tetapi
asyik dicurigai.

Persoalannya bagaimanakah hendak mengenali
lelaki baik? Memang sukar namun kita perlu
berpegang pada satu-satu prinsip untuk dijadikan
panduan. Kita boleh kata tak semestinya begitu
dan tak semestinya begini, tapi jika kita terus
berkata begitu, kita tidak akan mencapai
kesudahan. Kita akan menjadi seorang jurutikai
dan tiba-tiba tanpa kita sedar dia sudah pun
meninggalkan kita kerana tidak tahan dengan
kerenah kita.

Oleh itu, jadikan apa yang akan saya paparkan di
bawah ini sebagai panduan saja. Tidak semestinya
betul, harus salah.

Lelaki itu jujur jika:

1. Dia seorang yang cemerlang dalam usaha yang
dilakukannya. Tidak semestinya betul tetapi kita
boleh berpegang lelaki yang sibuk membina
kecemerlangan diri memang tidak sempat untuk
membina cinta-cinta palsu. Mana mungkin
seorang yang sibuk menguruskan perniagaan
ataupun tekun melakukan kerjanya ataupun
seorang pelajar yang sibuk menelaah ada masa
untuk mempermainkan wanita.

2. Dia seorang yang kuat pengamalan agamanya.
Tidak semestinya betul sebab orang yang kuat
beribadah pun tidak terlepas daripada godaan
syaitan, malah semakin besar serbannya semakin
besar pula syaitannya. Namun, tentulah lebih
ramai yang sempurna hasil kuat peribadahan
agamanya berbanding yang ambil tidak peduli
dengan agamanya.

3. Dia seorang yang amat mengambil berat
tentang keluarganya. Seorang lelaki yang baik
pasti seorang yang amat disenangi oleh seluruh
ahli keluarganya. Tumpuannya pada kerjaya,
keluarga dan TUHAN.


Gabungan ketiga-tiga aspek ini menjadikan
seseorang lelaki itu 'sempurna'. Dia sudah tentu
tidak punya masa untuk menjalin hubungan-
hubungan 'luar biasa' sebab kesibukannya
bersama kerjaya, keluarga dan TUHAN.

Kerjaya menjadikannya seorang yang sibuk untuk
mengejar matlamat, keluarga sandarannya untuk
menjadi seorang penyayang dan
bertanggungjawab. TUHAN pula menjadi
pengharapannya demi kehidupan yang lebih baik
dan sempurna serta kekal abadi. Apakah anda fikir
seorang lelaki yang mempunyai tiga aspek begini
masih patut dicurigai?

Ramai suri rumah akhirnya ditinggalkan kerana
terlalu prasangka, menyangka yang bukan-bukan
serta merangsang suami dengan tuduhan-tuduhan
tidak berasas. Nasihat saya, berilah kepercayaan
padu kepada suami anda selagi belum terbukti
sesuatu. Selagi ia berlegar dalam pemikiran ia
tidak perlu dilayan.


Selamat membina perhubungan intim dan jadilah
orang yang ceria serta bahagia sepanjang hidup
kita. Saling mempercayai lebih bagus daripada
saling mencurigai.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments